MIMPI ITU 1

Dadaku sesak bagai diasak-asak. Masih gelap, yang kedengaran hanya bunyi kipas siling usang yang berpusing. Berkeriut bunyinya. Buat seketika aku merasa sedikit tenang. Alhamdulillah, masih hidup aku rupanya. Mimpi tadi seakan benar. Jantungku masih lagi berdegup kencang, peluh juga masih menitis membasahi pipi. Pandangan yang mulanya kelam kini beransur terang, mula membiasakan diri dengan suasana di sekitar.
 
Ini bukannya kali pertama aku alami mimpi sebegini. Seingat aku, sejak di bangku sekolah lagi. Mimpi seakan realiti. Kalau aku berlari, bila terjaga aku akan tercungap-cungap kepenatan. Kata orang tua-tua, dalam tidur roh kita berjalan keluar. Mungkin benar, mungkin juga mitos atau kebetulan?

Aku gagahkan diri untuk bangkit dari tempat tidur. Kelopak mata masih terasa  berat. Nafas yang sesak semakin reda. Ku seka peluh yang menitik di dahi. Entah berapa kilometer agaknya aku berenang kali ni. Kalau boleh kurus bagus juga. Perincian mimpi semakin jelas dari hari ke hari. Walaupun masih ada yang kurang jelas diingatan tapi perjalanannya makin mudah untuk aku imbas berbanding sewaktu sekolah dulu.

'Mimpi buruk lagi Ad?' sapa teman di katil sebelah.

Aku sekadar tersenyum.

'Kau tak tidur lagi?' balasku sambil membetulkan ikatan rambut yang berselirat.

'Tak boleh tidur Ad. Risau tengok kau tidur sambil bersilat.'

Fasya ketawa terbahak-bahak. Gadis Ranau itu begitu mudah ketawa. Orangnya memang gemar mengusik.

Hello Kity di bahu katil ku lontar tepat ke mukanya.

'Ad, benjol kepala aku bah... Mau kau bayar insurans nih. Mahal nih.'

'Nasib kene kepala kau Sya... kalau ikutkan hati, nak saja aku baling tepat ke hidung kau yang mancung tu. Biar kemek,' usikku sambil berlalu ke bilik air.

Pili air di sinki kuputar sehabis-habisnya. Masih kedengaran sisa rungutan Fasya di balik pintu.

Aku pandang cermin di hadapanku tepat-tepat. Bibirku pucat kebiruan. Jari-jariku berkerekot sepertimana jari orang yang lama berendam di dalam air.

Ya Allah, mimpi apakah ini? Berantai, bagaikan ia benar-benar terjadi. Aku tutup mata serapat-rapatnya, cuba mengimbas kembali mimpi yang baru saja berlalu.
 
Ya, aku kenal dengan tempat itu. Walaupun kini warna bangunannya sudah berubah tapi struktur dan warna asal bangunan itu tetap sama. Aku yakin itu adalah sekolah rendah ku dulu. Pokok besar tempat kami selalu berkelah menghabiskan bekalan yang dibawa ke sekolah pun masih ada. Bangku uzur tempat aku berpaut melawan arus itu masih jelas tertera nombor daftarnya. Kalau tak silap aku, mimpi kali ini berlatar belakangkan tahun 90-an, waktu aku masih kanak-kanak.
 
Aku dibawa arus yang sangat deras. Kawasan kediaman aku habis dihanyutkan banjir besar. Aku tak nampak pula ahli keluarga ku dalam mimpi tu. Sedar-sedar saja aku sedang bergelut menentang arus dengan berpaut pada bangku di sekolahku. Selain aku, ada beberapa orang murid sekolah yang tenggelam timbul dibawa arus. Aku cuba membantu tapi tak berdaya. Aku sendiri entah berapa kali terminum air berlumpur. Sungguh aku panic. Aku memang tak pandai berenang. Air diparas dada membuatkan aku mencungap-cungap.
 
Pautanku semakin lemah. Hampir saja aku tenggelam, dan saat itu dia kembali muncul. Muncul secara tiba-tiba seperti selalunya. Pinggangku di rangkul kemas. Aku timbul semula dipermukaan air, ku tarik nafas sedalam-dalamnya. Dia sememangnya perenang yang handal. Mudah saja dihalanya aku ke tempat yang agak tinggi.
 
Aku terduduk sambil mengatur nafas. Dia turut duduk disebelahku. Kami tak bersuara, hanya pandangan saling bertukar. Aku seakan dapat membaca isi hatinya melalui reaksi wajahnya. Terpancar kelegaan di wajah yang masih kabur itu. Nak saja aku bertanya siapa dia tapi lidahku kelu, sebagaimana biasa. Dia tersenyum. Entah kenapa, bagaikan terubat kekosongan di dalam jiwa ini melihatkan senyumannya. Bagai ada rindu yang bertahun-tahun bersarang jauh disanubari ini.
 
Saat itu aku terjaga. Wajah itu hilang sekelip mata.
 
'Ad!'
 
Aku terkejut. Jeritan Fasya mengembalikan aku ke alam nyata. Ku tarik nafas sedalam-dalamnya.

Fasya mula mengetuk pintu, risau barangkali. Entah berapa lama agaknya ku termenung tadi.

'Kau ok tak Ad?' jeritnya di balik pintu.

'Aku ok Sya.'

'Sure?'

'Yes dear.'

'Ok, aku tidur dulu ya.'

Aku mengangguk perlahan walaupun aku tahu Fasya tak Nampak.

Usai berwudhuk, aku menadah kedua belah tangan, Aku bermohon kepadaNYA

'Tiada Tuhan melainkan Dikau, Maha Suci Dikau! Daku memohon ampun kepada-Mu bagi dosa-dosaku dan daku memohon kepada-Mu akan Rahmat-Mu. Ya Allah! Tambahkanlah padaku ilmu dan janganlah Dikau pesongkan hatiku setelah Dikau berikan petunjuk. Dan berikanlah daku Rahmat-Mu; Sesungguhnya Dikaulah yang melimpahkan rahmat! Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkanku dan kepada-Nyalah tempatku kembali'

Aku tunaikan solat tahajjud sepertimana pesan ibuku. Suara ibu masih terngiang-ngiang di telingaku. Acap kali ibu berpesan, andai terjaga di tengah malam, sebaiknya tunaikan solat tahajjud setidak-tidaknya dua rakaat. Kata ibu lagi, kalau terbangun sepertiga malam tu tandanya kita dapat seru dariNYA. Tanda Allah sayang hambaNYA dan beri peluang supaya kita buat amalan untuk menambah bekalan akhirat kelak.

Kulihat Fasya semakin lena tidurnya. Sesungguhnya, dialah yang sering menjadi saksi aku bergelut di dalam mimpi aneh ini. Ada juga aku bertanya, kot ada sebarang nama yang aku sebut-sebut dalam pada aku tak sedar. Tapi kalau dah namanya Fasya, tak pernah serius jawapannya. Pernah sekali jawabnya, aku berteriak nama Presiden Amerika, Obama. Aduh Fasya, gelagatnya seringkali buat aku tak kering gusi.

Aku mengeluh sendiri. Tak baik kata ibu, tapi itulah yang sering aku lakukan.

Entah apa kesudahan mimpi panjang ini.








 

Comments