MIMPI ITU 3

Kosong, hanya itu yang dapat aku gambarkan buat masa ini. Tiga hari sudah berlalu sejak Fasya marahkan aku tempohari. Sejak itu juga sahabatku nan satu itu tidak bercakap denganku. Ku tegur dia sebagaimana biasa. Nasi goreng kampung  kegemarannya yang ku masak pagi tadi masih tidak terusik. Ini kali pertama kami berselisih faham sebegini. Aku jadi serba tak kena. Rakan-rakan sepejabat sendiri kehairanan. Kami yang biasanya ke pejabat berkongsi kereta, kelihatan mula tak sehaluan. Kepada yang bertanya, tidak pernah ku berikan jawapan. Hanya senyuman yang mampu ku ukirkan. Aku tahu, aku yang menjadi punca. Aku juga mengerti akan niat baik sahabatku itu tapi perkara yang satu ini bukan semudah yang difikirkannya.
 
'Mengeluh sepanjang hari Ad.''
 
Teguran mengejut itu membuatkan jantungku bagaikan luruh dari tempatnya.
 
'En. Hasnul ni, buat saya terkejut saja'
 
Pegawai muda itu tersenyum menampakkan lesung pipitnya.
 
'Maaf Ad... lupa nak bagi salam'
 
'Maaf diterima encik..' selorohku.
 
Kami sama-sama tertawa. Saat itu juga kulihat Fasya berlalu. Ekor matanya jelas memerhatikan kami berdua. Hatiku makin dihimpit rasa bersalah. Bagaimana aku masih mampu ketawa sedangkan sahabatku masih lagi berkecil hati denganku.
 
'Susah hati ke Ad?'
 
'Eh, tak adalah encik. Tak susah hati pun.'
 
'Tak keluar lunch ke?'
 
'Saya puasa hari ni encik.'
 
'Felicia pun puasa juga ke?' ujar En. Hasnul sambil ketawa.
 
Aku hanya memandang kosong pada wajah di hadapanku. Benar kata En. Hasnul. Fasya memang tak akan makan kalau bukan bersama aku. Pernah satu masa aku berkursus selama 3 hari, Fasya merungut-rungut dalam telefon bertanyakan bila aku pulang. Katanya, mee segera yang dimasaknya tak mampu memenuhi rasa laparnya. Bila ku suruh makan di kedai, dia tak mahu. Katanya macam orang kematian laki makan sendiri. Sudahnya aku telefon ibu di kampung. Malam itu juga ibu datang bersama ayah membawakannya makanan. Malam itu juga tak pasal-pasal ayah memandu balik sendirian ke Banting.
 
'Macam ni Ad. Saya bukan nak masuk campur urusan peribadi kamu berdua. Tapi bagi saya tak ada salahnya kalau salah seorang dari mereka yang berbalah untuk mengalah bagi menjernihkan semula keadaan. Lebih-lebih lagi awak dan Felicia.'
 
En. Hasnul tersenyum lagi.
 
'Ad, saya kagum melihat persahabatan kamu. Kamu berdua ni, jodohnya kuat. Jadi saya yakin, semangat kamu berdua pun kuat.'
 
'En. Hasnul, saya.."
 
'Percayalah, Felicia pun tunggu kamu.'

Lelaki bertubuh kecil itu berlalu pergi. Aku kembali sendiri. Saat ini kerinduanku pada gelak tawa dan usikan nakal Fasya semakin terasa. Kalaulah Fasya mengerti...

Comments