MIMPI ITU 4

Peluh dingin kembali membasahi seluruh tubuhku. Otot kaki ku masih terasa tegang. Ku buang pandangan jauh menelusuri kaki bukit di hadapanku. Sayup mata memandang. Suasana hening dengan pemandangan malam yang cukup indah. Serius kukatakan, meskipun sudah berpuluh kali aku menjejakkan kaki di sini, rasa bosan itu tak pernah sekali pun terdetik dihati.
 
Dari jauh kelihatan cahaya dari tingkap-tingkap rumah di kaki bukit berbalam-balam, bagai menari rentak canggung di bawah sinar purnama. Maaf, andai bunyi bicara ku tika ini agak puitis dan jelak didengar, namun hanya itu caranya untuk kugambarkan betapa tenang dan damainya jiwa ku kala ini.
 
Ibu sudah sangat faham dengan kerenahku. Jika dulu ibu selalu melarang aku mendaki Bukit Jugra di malam hari, namun sejak kebelakangan ini ibu sekadar mengangguk mengizinkan aku pergi. Dan malam ini, sekali lagi aku mendaki sendiri. Mujur Abang Zaf tiada di rumah. Kalau tidak tentu merah telingaku menahan bebelannya.
 
Udara segar dan angin malam yang bertiup perlahan menyegarkan aku. Aku tak tahu kenapa hatiku begitu keras untuk ke sini malam ini. Bagai ada yang memanggil ku, dan panggilan itu kurasakan mampu meleraikan kekusutanku selama ini. Tapi seperti biasa, bukit ini tetap sunyi dan sepi tanpa penghuni. Hanya aku sendiri yang merenung nasib diri.
 
Aku bingkas dari tempat dudukku. Tiba-tiba aku terasa lucu. Bagai ada yang menggeletek dan membuatkan aku tertawa kecil. Benar kata orang dulu-dulu. Ikut rasa binasa, ikut hati mati. Masa mendaki tadi tak pernah terlintas difikiran bagaimana caranya aku mahu turun. Kalau dulu, ada Abang Zaf yang menanti aku dengan motorsikalnya. Aku tahu, hanya Abang Zaf yang mampu bertahan dengan sikap degilku. Biarpun tak rela membiarkan adiknya mendaki sendirian di malam hari, tapi kerana faham benar dengan perangaiku, diturutkannya juga kehendak adik yang seorang ini. Lantaran itu, biarpun menanti dalam kedinginan, Abang Zaf tetap setia menunggu aku dipuncak Jugra.
 
Aku garu kepala yang tidak gatal. Malam ni Abang Zaf tiada. Samada turun melalui jalan yang kunaiki tadi atau berjalan turun melalui laluan kenderaan. Aku buntu. Jam ditangan tepat menunjukkan pukul 1 pagi. Baru kini aku rasa panik. Bukit Jugra tegaknya hampir 90 darjah. Aku tak punya pilihan selain berjalan mengikut laluan kenderaan.

Namun begitu, kaki ini bagai dirantai. Beratnya langkah sampaikan aku sendiri rasa hairan. Tempat ini sudah serasi dengan jiwa dan fizikalku. Khabar-khabar negatif tentangnya sudah lama kubuang jauh-jauh. Bukan tidak percaya tapi naluri kusendiri berat menyatakan tiada yang mistik tentang tempat ini. Bumi tempat ku berpijak ini adalah milik NYA yang hakiki.

Peluh dingin makin deras membasahai tubuhku. Aku yakin kali ini aku bukan bermimpi, tetapi perasaan gemuruh yang kurasai kini mirip sekali dengan apa yang kurasakan setiap kali bertemu dengannya. Ku pandang sekelilingku, tiada siapa pun di sini. Untuk kali pertamanya aku mula rasa takut bersendirian di lubuk permainanku. Ya Allah, aku hanya mampu memohon pertolongan dari-MU. Tidak semena-mena, kulihat dari kaki bukit ada cahaya yang memancar. Cahaya lampu suluh, detik hatiku. Dalam keadaan masih berdiri dan tidak mampu bergerak, aku perhatikan cahaya yang semakin menghampiri. Semakin hampir cahaya tersebut semakin kuat debar di dada. Siapa lagi yang mendaki selewat malam begini?
 

Comments